KATA PENGANTAR

Raja kepada kitab-kitab tasauf pertengahan iaitu Ihya Ulumiddin (Menghidupkan Ilmu-ilmu Agama) karangan Hujjatul Islam Imam Al Ghazali telah menjadi semakin asing dan terus terpinggir dalam dunia Islam. Kalau ada digunakan pun hanyalah petikan beberapa baris ayatnya diambil untuk dimuatkan ke dalam buku-buku baru. Dikhuatiri lama-kelamaan hasil tangan seorang mujaddid ini akan pupus sama sekali. Akhirnya, ilmu tasauf kehilangan sebahagian pedoman utamanya.

Kesempatan ini sudah tentu akan digunakan oleh musuh-musuh Islam terutamanya dari dalam dunia Islam sendiri untuk menghuraikan tasauf mengikut pandangan pihak yang berkepentingan. Kemudian, jika ada orang yang ingin menghidupkan kembali ajaran kesufian sebagaimana asalnya, orang itu pula akan dicop sesat dan ekstrem.

Antara faktor-faktor yang menyumbang kepada peminggiran ‘kitab tidak memerlukan rujukan dan bibliografi’ ini ialah:

1. kitab ini sukar didapati, mahal harganya, tebal mukasuratnya, banyak jilidnya

2. sukar didapati dalam bahasa selain bahasa Arab. Naskhah bahasa Indonesia itu pula agak rumit lenggok bahasanya untuk dimengerti

3. tidak ada guru yang layak untuk mengajarnya kerana isi kandungannya dirasakan terlalu berat bagi mereka yang mencintai dunia, termasuklah si guru. Dalam sesuatu zaman, mungkin ada segelintir sahaja guru yang mampu beradab dengan adab-adab di dalam kitab itu. Kesimpulannya, sangat kurang orang yang berani untuk mengetengahkannya.

4. para sufi dewasa ini sering dikatakan membawa bida’ah, jumud, sesat dan sebagainya menyebabkan manusia takut menghampiri dunia tasauf & tariqat

5. kebanyakan jemaah Islam hari ini tidak lagi menjadikan tasauf sebagai tunjang kepada pergerakan mereka

6. dan sebab-musabab lain yang semuanya berada dalam ilmu Allah SWT Yang Maha Mengetahui


Atas dasar itulah, buku ‘Taman Syurga Keluarga Sufi: Allah Cinta Agung’ ini disusun. 90% daripada isi kandungannya adalah terus daripada kitab Ihya Ulumiddin, dan telah dimudahkan bahasanya kepada bahasa yang dapat difahami orang-orang
Malaysia hari ini tanpa mengubah sedikit pun maksud asalnya. Selain itu 10% lagi merupakan bahan-bahan lain-lain sumber untuk menguatkan lagi pamahaman pengguna ke tahap maksimum.

Pada asasnya, buku ini adalah untuk sesi tarbiah harian keluarga saya, yang ingin saya kongsikan bersama teman-teman. Sebab itu nama kecilnya 'Taman Syurga Keluarga Sufi'.

Tarbiyyah para sufi, adalah tarbiyyah tertinggi.



Penyusun

Abu Zulfiqar "Alexanderwathern"

1423 H (semakan 1428 H)



No posts.
No posts.